Pasukan peninjau membuat persiapan terakhir barangan misi bantuan ketika Perlepasan Misi Kemanusiaan untuk Rohingya menggunakan pesawat A400M TUDM di Pangkalan Udara TUDM Subang. FOTO Sairien Nafis
Pasukan peninjau membuat persiapan terakhir barangan misi bantuan ketika Perlepasan Misi Kemanusiaan untuk Rohingya menggunakan pesawat A400M TUDM di Pangkalan Udara TUDM Subang. FOTO Sairien Nafis
Idris Musa


MISI Kemanusiaan Untuk Rohingya memulakan operasi dengan pelepasan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) A400M oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di Pangkalan Udara TUDM Subang, Selangor, hari ini.

Misi yang diketuai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini bagi meninjau serta menilai keadaan sebenar pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh-Myanmar, sekali gus membekalkan bantuan segera kepada mereka.

Perdana Menteri berkata, kerajaan memutuskan untuk memulakan misi bantuan kemanusiaan ini dengan mendukung slogan Negaraku Prihatin.

Menurutnya, ini kerana Malaysia terpanggil menghulurkan bantuan memandangkan malapetaka yang menimpa etnik Rohingya sudah sampai ke tahap yang begitu dahsyat dan tidak boleh dipandang ringan.

"(Ini) kerana laporan yang kita terima, mereka sedang dizalimi tanpa belas kasihan dengan tindakan tidak ada unsur kemanusiaan sama sekali, sebaliknya dilakukan secara terancang supaya mereka ini didera, dizalimi, dibunuh, dirogol dan segala angkara mengerikan.

"Oleh itu, keadaannya sudah sampai kepada peringkat di mana kita tak boleh biarkan kerajaan Bangladesh saja menampung bilangan pelarian yang kian bertambah.

"Menurut pesuruhjaya tinggi Bangladesh ke Malaysia, mutakhir ini bilangannya lebih kurang 350,000 yang sudah pun berpindah dan terpaksa melarikan diri ke Bangladesh dan di Bangladesh sudah ada 500,000 orang Rohingya yang sudah lari sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan pesawat berkenaan.

Misi kemanusiaan ini adalah misi bantuan bersepadu yang turut disokong badan sukarelawan iM4U.

Ia bakal menyaksikan penghantaran bantuan keperluan yang diuruskan secara komprehensif oleh Malaysia Airlines dan akan diedarkan oleh pasukan sukarelawan rakyat Malaysia yang tampil daripada pelbagai pertubuhan melalui kerjasama Malindo Air.

Najib berkata, memandangkan skala malapetaka adalah besar, Malaysia akan melakukan apa yang terdaya.

"Hari ini kita menghantar pesawat A400M dengan muatan sebanyak 12 tan bantuan makanan dan bantuan lain seperti tuala, sabun dan sebagainya.

"Kita juga dapat membawa bersama 35 sukarelawan iM4U," katanya.

Menurutnya, satu lagi misi tinjauan akan dihantar Isnin ini bagi membincangkan dengan kerajaan Bangladesh mengenai tindakan susulan yang boleh dilakukan.

"Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Bangladesh kerana telah memberi kerjasama yang sangat baik untuk menjayakan misi kemanusiaan ini," katanya.

Menjelang pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, katanya, beliau juga akan membangkitkan isu Rohingya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 5:54 PM