ZULRAHIM perkenal konsep makan dan bayar ikut kemampuan setiap Jumaat di kedainya di Taman Rinting, Pasir Gudang.
ZULRAHIM perkenal konsep makan dan bayar ikut kemampuan setiap Jumaat di kedainya di Taman Rinting, Pasir Gudang.
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Setiap hari Jumaat, pelanggan restoran Nasi Arab Al-Hanin di Taman Rinting di sini boleh membuat bayaran juadah yang dinikmati dengan tiga cara iaitu membayar harga asal, bayar ikut kemampuan atau bayar untuk bersedekah.

Pemiliknya, Zulrahim Yusof, 45, berkata, ide menawarkan cara bayaran itu timbul selepas dia mendapati tidak semua golongan mampu menikmati hidangan nasi Arab kerana harganya yang dikatakan mahal.

Atas dasar itu, Zulrahim yang juga bekas guru j-QAF, mengambil keputusan menerima apa saja nilai bayaran daripada pelanggan atas kemampuan mereka sendiri.

Tawaran yang hanya dibuka pada setiap Jumaat itu mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan kurang berkemampuan terutama pelajar, ibu tunggal dan keluarga yang mempunyai ramai anak.

“Ide menerima bayaran mengikut penilaian dan kemampuan pelanggan ini timbul apabila saya bertanya kepada seorang bapa yang mempunyai ramai anak mengenai nasi Arab.

“Bapa itu menyatakan tidak mampu menjamu ahli keluarganya yang ramai kerana nasi Arab mahal. Dalam setahun boleh dikira hanya beberapa kali dia membawa ahli keluarganya makan di luar berikutan kekangan ekonomi.

“Atas sebab itu, saya berfikir dan dalam al-Quran pun ada menyatakan kelebihan bersedekah. Saya yakin dengan rezeki Allah dan mencuba.

“Saya memberi pilihan kepada mereka yang menjamu nasi Arab ini sama ada membayar harga asal, bayar ikut kemampuan atau bayar lebih sambil bersedekah kepada mereka yang membayar sedikit,” katanya yang menjalankan perniagaan itu sejak 2006.

Menurut Zulrahim, pihaknya menyediakan satu kotak di kaunter bagi pelanggan membuat bayaran mengikut kemampuan mereka.

Pada percubaan pertama Jumaat lalu, ramai yang datang menjamu dan mencuba konsep yang diperkenalkan.

“Alhamdulillah, memang ramai datang dari jam 11 pagi hingga 11 malam. Cubaan pertama saya buat konsep ini, bayaran yang diperoleh biarpun tidak banyak, cukup menampung kos, gaji pekerja dan ada untung sedikit.

“Saya buat konsep ini supaya mereka yang berkemampuan boleh beramal dan bersedekah dengan membayar lebih. Manakala yang kurang berkemampuan menikmati nasi Arab pada harga yang mereka boleh bayar.

“Sekiranya tidak ada yang membayar lebih, saya anggap ia satu sedekah saya kepada mereka kerana kegembiraan mereka yang datang bersama keluarga dan anak kecil lebih bermakna,” katanya yang mempunyai ijazah dalam bidang syariah dari Universiti Mu’tah Jordan.

Katanya, tiga jenis nasi Arab iaitu nasi mandy, nasi kabsah dan nasi maqlubah yang boleh dimakan bercampur dalam dulang dengan pilihan ayam atau kambing.

“Harga biasa sedulang RM60 dan sepinggan nasi Arab ayam RM12 manakala nasi Arab kambing RM15.

“Saya berharap satu hari nanti saya boleh membuat konsep ini setiap hari dan tidak terhad pada Jumaat saja seperti sekarang,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 3:24 AM