PASANGAN suami isteri, Safari dan Habsah menjual nasi bajet di Jalan Bakti 2, Taman Mutiara Rini, Skudai.
PASANGAN suami isteri, Safari dan Habsah menjual nasi bajet di Jalan Bakti 2, Taman Mutiara Rini, Skudai.
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Trend menjual nasi bajet berharga RM4 yang diusahakan peniaga konsep kenderaan saji food truck atau kenderaan sendiri semakin popular kini hingga ada yang mampu menjual lebih 50 bungkus nasi bajet dalam tempoh tiga jam saja.

Bagi sepasang suami isteri, nasi berlauk ayam goreng berempah atau ayam goreng masak kicap bersama sayur kubis goreng berharga RM4 dengan sirap percuma menjadi konsep berniaga sambil bersedekah.

Pasangan berkenaan, Safari Kandar, 56, dan Habsah Madirin, 52, yang membuka gerai di Jalan Bakti 2, Taman Mutiara Rini, Skudai, dekat sini, mengakui merasai nikmat berniaga apabila memperoleh pelanggan daripada pelbagai latar belakang menerusi jualan nasi murah.

Safari berkata, dia tidak meletakkan sasaran pelanggan, sebaliknya konsep nasi bajet itu untuk dinikmati sesiapa saja tanpa mengira latar belakang dan status sosial hingga mampu menjual sekurang-kurangnya 50 bungkus nasi bajet dalam tempoh tiga jam saja.

“Idea menjual nasi ini hanya mengikut naluri hati dan niat saya mahu berniaga sambil bersedekah. Mudah kata pelanggan dapat untung dan saya juga masih dapat untung.

“Dengan nasi bajet ini, pelanggan boleh memilih sama ada lauk ayam goreng berempah atau ayam masak kicap bersama sayur kubis goreng, kuah kari dan sambal belacan. Pakej nasi bajet ini disediakan dengan air percuma,” katanya, semalam.

Pesara di sebuah kilang elektronik itu berkata, nasi bajet dijual itu menjadi sumbangan bagi membantu orang ramai mendapatkan makanan pada harga murah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 4:15 AM