Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Seorang penganggur dipenjara 10 tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan samun dan mencabul pada Januari lalu.

Hakim Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Khairul Ikhwan Mohamed, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan pisau terhadap Saidah Said, 56, dengan mengambil wang tunai RM7,000, barang kemas, empat telefon bimbit, kad bank dan sebuah kereta Toyota Vios di sebuah rumah di Jalan Sultan Yahya Petra pada 3.30 pagi, 18 Januari 2015.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi sama tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul seorang wanita berusia 23 tahun.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 4:19 PM