PELARIAN Rohingya berebut ketika menerima sumbangan.
PELARIAN Rohingya berebut ketika menerima sumbangan.
AHMAD Tarmidzi (kanan) dan Zulhanis selepas menyelesaikan Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya.
AHMAD Tarmidzi (kanan) dan Zulhanis selepas menyelesaikan Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya.
Siti A’isyah Sukaimi


Sepang: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menubuhkan Pusat Penyelarasan Bantuan Etnik Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh bagi memastikan proses bantuan kepada pelarian etnik terbabit dilaksanakan dengan lancar dan lebih tersusun.

Penubuhan pusat berkenaan adalah dengan kerjasama lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) di Bangladesh dan antarabangsa sejak 15 September lalu.

Naib Presiden MAPIM Ahmad Tarmidzi Sulaiman berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu turut memudahkan penyaluran bantuan kepada pelarian yang kini ditempatkan di tiga daerah iaitu Kutupalong, Teknaf dan Barukali membabitkan lebih tujuh kem.

“Justeru, mana-mana pihak yang mahu menyalurkan bantuan kepada pelarian boleh mendapatkan maklumat terlebih dahulu melalui pusat penyelarasan ini.

“Pada masa sama, selepas kedatangan Perdana Menteri Bangladesh ke kawasan pelarian juga menunjukkan petanda baharu apabila kelihatan pihak tempatan termasuk NGO turut menyampaikan bantuan kepada etnik terbabit,” katanya pada sidang media ketibaan misi bantuan MAPIM dari Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Turut sama menyampaikan bantuan pada misi itu ialah Setiausaha Agung MAPIM Zulhanis Zainol.

Dalam pada itu, Ahmad Tarmidzi berkata, satu lagi misi diadakan pada Oktober ini bersama pelbagai NGO di Malaysia dan ia mensasarkan untuk mengumpul RM5 juta dalam tempoh sebulan.

Selain itu, Ahmad Tarmidzi berkata, sumbangan juga akan memberi tumpuan kepada tiga keperluan asas yang mendesak iaitu makanan, telaga dan khemah untuk penempatan sementara.

“Kita minta mana-mana NGO yang masih tercari-cari rakan kerjasama serta mempunyai misi untuk membantu pelarian terbabit boleh bergabung tenaga dengan MAPIM,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 20 NGO dari Malaysia sedang bekerjasama untuk menjayakan misi berkenaan antaranya Serantau Muslim, Yayasan Aman, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH Malaysia) dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Ditanya mengenai misi yang dilaksanakan baru-baru ini, beliau berkata, sebanyak 1,800 pek makanan disampaikan kepada 1,800 keluarga pelarian terdiri daripada mereka yang baru tiba di Bangladesh.

Sementara itu, Zulhanis berkata, kemelut yang dihadapi etnik Rohingya kini bukan lagi hanya berkait dengan agama malah ia adalah krisis kemanusiaan dan penindasan yang memerlukan perhatian dunia.

Malah, beliau menyifatkan, krisis dihadapi etnik terbabit lebih dahsyat serta terburuk pernah dialaminya sepanjang menjadi sukarelawan jika dibandingkan dengan masalah dihadapi pelarian Syria.

Mana-mana pihak yang ingin memberi bantuan boleh menyalurkannya ke Tabung Rohingya MAPIM 154001880630441 (Bank Al-Rahji) dan merujuk www.mapim2u.com untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 10:42 AM