MALAYSIA mahu Myanmar melindungi warganegara yang terdiri daripada etnik Rohingya.
MALAYSIA mahu Myanmar melindungi warganegara yang terdiri daripada etnik Rohingya.

Kuala Lumpur: Bangladesh tiada halangan untuk membenarkan misi flotila kemanusiaan Malaysia menyalurkan bantuan kepada pelarian Rohingya di Teknaf, kata Menteri Luar negara itu Shahriar Alam.

Beliau berkata, malah kerajaannya mengalu-alukan mana-mana negara yang mahu menghulurkan bantuan kepada pelarian di kem terbabit.

“Kami alu-alukan semua negara yang mahu membantu supaya datang dan lihat sendiri keadaan pelarian Rohingya di kem kami, selain dapat membantu menambahkan keperluan asas mereka seperti makanan dan pakaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dtemui selepas berakhirnya Sesi Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di sini, semalam.

Beliau sebelum itu ditanya mengenai misi pelayaran kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar (FFM) anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang dijadual berlepas 3 Februari depan.

Setakat ini misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Kelab Putra 1 Malaysia (KP1M) dan disokong 20 NGO itu masih belum memuktamadkan destinasi akhir, sama ada ke Myanmar atau Bangladesh.

Kerajaan Myanmar hanya membenarkan kapal yang membawa kira-kira 2,000 tan bantuan makanan itu itu berlabuh di Yangon dan bukannya Sittwe yang hampir dengan kawasan konflik iaitu Rakhine.

Ahad lalu, pasukan misi peninjau FFM berkunjung ke Dhaka dan mengadakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Nur Ashikin Mohd Taib dalam usaha mendapatkan kebenaran daripada kerajaan Bangladesh supaya kapal boleh berlabuh di Teknaf.

Wilayah Teknaf di selatan Bangladesh menjadi lokasi pilihan kedua yang dianggap lebih sesuai berbanding Yangon kerana terdapat tiga kem menempatkan ratusan ribu pelarian Rohingya di situ termasuk 20,000 yang baru tiba sejak konflik terbaru tercetus di Rakhine pada 9 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 11:28 AM