Zakaria  dipenjara lima tahun selepas mengaku bersalah mencederakan  Siti Aishah.
Zakaria dipenjara lima tahun selepas mengaku bersalah mencederakan Siti Aishah.
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Tindakan seorang nelayan memukul isterinya dengan penyapu membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen, semalam.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Zakaria Mat, 35, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 31 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan parah terhadap isterinya Siti Aishah Ismail, 32, di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Kemayang, Tawang, Bachok pada jam 10 pagi, 18 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 36A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara tertuduh dengan isterinya.

Tertuduh kemudian memukul mangsa dengan penyapu sebelum menendang mangsa mengakibatkan wanita itu mengalami sakit serta lebam di bahagian badan dan tangan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azlinawati Mohd Arshad memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira mangsa adalah isterinya.

“Sebagai suami, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung kepada mangsa, bukan mencederakannya. Oleh itu saya mohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 7:47 AM