FAKRULLAH Mukhatar dipenjara lima tahun di Mahkamah Sesyen selepas mengaku mencederakan hingga menyebabkan bahagian hidung isterinya koyak pada 21 Disember lalu. FOTO Ihsan pembaca
FAKRULLAH Mukhatar dipenjara lima tahun di Mahkamah Sesyen selepas mengaku mencederakan hingga menyebabkan bahagian hidung isterinya koyak pada 21 Disember lalu. FOTO Ihsan pembaca
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Seorang penoreh getah dipenjara lima tahun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan hingga menyebabkan bahagian hidung isterinya koyak, 21 Disember lalu.

Tertuduh, Fakrullah Mukhatar, 42, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 39 tahun di sebuah rumah di Chabang 3 Chuchoh Puteri A, dekat Kuala Krai, 10.30 pagi, pada 21 Disember lalu.

Berikutan kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh kerana menyebabkan isterinya cedera dan bahagian hidung dikenakan sembilan jahitan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan hukuman ringan kerana sudah berbaik semula dengan isterinya.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa berada di dalam bilik, secara tiba-tiba tertuduh mengamuk sebelum isterinya cuba menenangkan lelaki itu.

Namun, lelaki itu kemudian memukul badan isterinya sehingga wanita itu mengatakan bahawa lelaki berkenaan dayus dan tertuduh marah sebelum menumbuk muka mangsa sebanyak satu kali dengan tangan kanan sehingga bahagian atas hidung wanita itu koyak dan berdarah.

Mangsa menerima sembilan jahitan di atas hidung sebelum membuat laporan polis.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun yang bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 4:11 PM