GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Marah kerana pokok getah tidak mengeluarkan susu, seorang suami tergamak memukul kepala isterinya menggunakan sebatang kayu getah dalam kejadian 15 September lalu.

Berikutan itu, tertuduh, Mohd Zainizam Kamarudin, 40, yang juga penoreh getah, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini, tadi.

Tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca mengikut Seksyen 326A akta sama.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dengan memukul kepala isterinya berusia 33 tahun menggunakan sebatang kayu getah di sebuah ladang getah di Felda Palong Lapan, Gemas pada jam 9.15 pagi.

Norma kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan terhadap tertuduh.

Berdasar siasatan polis, kejadian berpunca susulan pertengkaran mulut di antara tertuduh dengan isterinya.

Ia berpunca selepas tertuduh berada dalam keadaan marah kerana pokok getah yang ditoreh tidak mengeluarkan susu seterusnya naik angin dan memukul isteri.

Isteri tertuduh mengalami kecederaan pada bahagian kepala sebelah kiri.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya Muhammad Amitul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 4:33 PM