SUAMI isteri mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mencederakan pembantu rumah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu. FOTO Muhamaad Razis Ismail
SUAMI isteri mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mencederakan pembantu rumah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Muhamaad Razis Ismail


DOKTOR dan suaminya mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mencederakan pembantu rumah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Dr Nur Hazrina Iskandar, 40 dan peniaga, Roslan Ramli, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama mencederakan Nurannisa Kamil, 20, dengan paip getah, senduk besi, batang penyapu dan penyepit kain di rumah di Bandar Baru Kubang Kerian pada 8 pagi hingga 12 tengah malam, antara Mei hingga 12 Oktober 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azlinawati Mohd Arshad tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh yang mengenali mangsa dibimbangi akan mengganggunya.

Bagaimanapun, peguam Mohd Norazihan Adnan memohon jaminan dibenarkan kerana sejak kejadian itu tiada sebarang laporan polis dibuat mangsa diganggu.

"Roslan bekerja sebagai peniaga dan isterinya bertugas sebagai pegawai perubatan di hospital di Sarawak dan mempunyai tiga anak yang masih kecil.

"Tertuduh dengan sukarela datang sendiri ke mahkamah hari ini dari Sarawak selepas diminta berbuat demikian," katanya.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu saksi dan mangsa.

Ahmad Bazli menetapkan 20 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 6:58 PM