Lori kren yang dipandu mangsa terbabit dengan kemalangan sebuah treler di Batu 9, Jalan Alor Setar -Sungai Petani. FOTO IHSAN BOMBA
Lori kren yang dipandu mangsa terbabit dengan kemalangan sebuah treler di Batu 9, Jalan Alor Setar -Sungai Petani. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang pemandu lori kren Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut sejurus kenderaan dipandunya dihempap kontena treler di Batu 9, Kota Sarang Semut, Jalan Alor Setar - Sungai Petani, di sini.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi tadi, mangsa, Hasbullah Mohd Salleh, 38, berasal dari Parit Panjang, Baling, maut serta merta di lokasi nahas.

Difahamkan mangsa baru ditukarkan tugas dari Langkawi ke TNB Kota Setar pada 3 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, siasatan awal mendapati treler itu dipercayai bergerak dari arah Alor Setar ke Sungai Petani manakala lori kren dipandu mangsa dari arah bertentangan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dipandu lelaki berusia 27 tahun itu hilang kawalan dan merempuh lori kren TNB itu.

"Pemandu lori kren TNB disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat," katanya tadi.

Ahmad Shukri berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, kemalangan itu menyebabkan treler itu terbalik dan menghempap lori kren TNB berkenaan.

"Pihak bomba terpaksa mendapatkan bantuan kren untuk mengangkat kontena treler itu sebelum berjaya mengeluarkan mangsa pada jam 9.17 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 2:12 PM