Barisan pemimpin NGO Islam bersama memorandum yang diserahkan di Kedutaan Myanmar. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Barisan pemimpin NGO Islam bersama memorandum yang diserahkan di Kedutaan Myanmar. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


GABUNGAN pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia menghantar memorandum kepada kerajaan Myanmar menerusi kedutaannya di Kuala Lumpur, hari ini, bagi membantah operasi ketenteraan yang mengorbankan lebih 500 etnik Rohingya di Rakhine.

Pengarah PAS Relief, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara kandungan memorandum sembilan perkara itu termasuklah segera menghentikan operasi berkenaan yang mensasarkan orang awam dan etnik Rohingya.

Katanya, mereka juga menuntut supaya Myanmar mengikuti Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN untuk melindungi semua kaum tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan.

Selain itu, katanya, Myanmar juga didesak supaya menyelesaikan status kewarganegaraan Rohingya serta mendapat layanan sama dan peluang untuk mengambil bahagian dalam pembangunan negara itu.

Terdahulu, kumpulan NGO yang turut disertai Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) serta Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS) dihalang daripada memasuki Kedutaan Myanmar, hari ini.

Mereka turut disertai Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid, Setiausaha Agung PERMAS Yahya Long Ali dan Timbalan Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Mohd Farid Hassan yang menunggu di perkarangan kedutaan selama hampir dua jam sebelum memorandum itu diserahkan kepada petugas.

Antara kandungan lain memorandum itu termasuklah meminta pihak berkuasa Myanmar menghormati resolusi yang diluluskan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) untuk membolehkan misi mencari fakta mendapatkan akses ke kawasan yang terjejas.

"Kita juga gesa Myanmar untuk memulihkan keamanan di kawasan terjejas, melucutkan senjata kumpulan pemberontak dalam kalangan rakyat Rakhine dan membenarkan mangsa pulang ke rumah mereka dengan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 11:34 PM