MOKHTARUDDIN memeriksa lembu yang dirampas di Pejabat MAQIS Rantau Panjang. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
MOKHTARUDDIN memeriksa lembu yang dirampas di Pejabat MAQIS Rantau Panjang. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mohamad Zulhairie Manzaidi


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menafikan 20,000 lembu diseludup sepanjang tahun ini.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Datuk Mokhtaruddin Husin berkata, lebih 20,000 lembu diimport secara sah.

"Tiada 20,000 lembu diseludup tahun ini. Hanya 41 ekor sahaja yang dirampas kerana diseludup menerusi perairan sempadan negara.

"Angka sebenar yang diimport secara sah dengan kelulusan MAQIS adalah 22,764 ekor sejak 2013 hingga tahun ini.

"Semua ternakan ini melalui proses import yang ditetapkan oleh pihak kami dan mempunyai import permit MAQIS, sijil kesihatan veterinar dari pihak berkuasa negara pengeksport dan melalui prosedur kuarantin yang ketat," katanya dalam sidang media di Pejabat MAQIS Rantau Panjang, hari ini.

Hadir sama, Panglima 8 Briged, Brig Jen Nazari Abd Hadi dan Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tangkapan yang dilakukan terhadap lembu seludup tahun ini hanya 41 ekor bermula Januari hingga hari ini.

Manakala bagi tahun lalu katanya, sebanyak 225 ekor yang berjaya dirampas oleh agensi kawalan keselamatan di sempadan dan pihak MAQIS.

"Pihak MAQIS akan meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi kawalan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam membanteras aktiviti penyeludupan.

"Orang ramai juga diminta untuk berikan kerjasama dan tidak menggunakan atau mendapatkan bekalan lembu seludup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 10:30 PM