Nor Fazlina Abdul Rahim


PAS berharap unsur riba dalam pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dapat dihapuskan.

Pandangan itu disuarakan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob yang mahukan peminjam PTPTN hanya perlu membayar jumlah pinjaman sahaja.

“Sekiranya kerajaan (diterajui Perikatan Nasional) hari ini tidak dapat menyelesaikan isu (menghapuskan hutang) PTPTN, jika dapat selesaikan tanpa riba pun sudah okay.

“Isu (PTPTN) ini, jangan kata pengecualian sebab (dalam Islam) bila pinjam kena bayar, cuma jangan dikenakan riba,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Kota Bharu, hari ini.

Ditanya adakah PAS sendiri akan mengambil langkah memansuhkan PTPTN memandangkan ia satu daripada manifesto parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Ahmad berkata, itu manifesto PAS, bukannya Perikatan Nasional.

“Sekarang ini, kita Perikatan Nasional yang mempunyai banyak parti,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, manifesto PAS hanya terpakai sekiranya PAS berjaya membentuk kerajaan sendiri.

“Ini bukan kerajaan PAS... PAS hanya sebahagian kecil, jadi macam mana kita mahu melaksanakannya.

AHMAD Yakob.
AHMAD Yakob.

“Berbeza dengan Pakatan Harapan (PH), kita adalah pakatan yang baru diwujudkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menumpukan perkara asas iaitu memulihkan ekonomi dan mengurangkan tekanan ekonomi rakyat.

Mohd Amar turut berharap pembentukan kabinet dapat mengembalikan pelabur dan keyakinan rakyat.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 4:16 PM
    Ahmad Yakub di temubual  mengenai pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan  ketika ditemui selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang berlangsung di Kompleks YIK di Nilam Puri, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
    Ahmad Yakub di temubual mengenai pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan ketika ditemui selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang berlangsung di Kompleks YIK di Nilam Puri, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR