AWANG Suffian (enam dari kanan) bersama artis yang menyertai konsert, semalam.
AWANG Suffian (enam dari kanan) bersama artis yang menyertai konsert, semalam.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Yahudi terus dilaksanakan dan terbaru, Aman Palestin Berhad dengan kerjasama penyiar tempatan menganjurkan program Ekspresi Aqsa Solidariti Ummah.

Program membantu rakyat Palestin yang menyasarkan kutipan RM1 juta itu berlangsung seawal jam 4.30 petang di AlHijrah Big Studio (ABS) Cyberjaya pada Ahad, 27 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad Ustaz Awang Suffian Awang Piut berkata, artis tempatan antaranya kumpulan Raihan, Rabbani, Man Bai, Lah Ahmad, Siti Nordiana, Nora Ariffin, kumpulan Nastia, Akma AF, Pria Akustik dan Caravan of Praise antara dijangka mengadakan persembahan konsert amal itu.

“Ekspresi Aqsa Solidariti Ummah adalah konsert amal membabitkan kerjasama Aman Palestin bersama TV Alhijrah dan siaran langsung serentak di stesen itu serta RTM2, Salam HD, Bernama TV dan saluran radio IKIM.fm

“Gabungan semua saluran yang menyiarkan Ekspresi Aqsa Solidariti Ummah secara langsung serentak ialah simbolik terbaik menggambarkan konsep merapatkan saf, berganding bahu dan saling bersatu demi solidariti mempertahankan Masjid Al-Aqsa,” katanya dalam sidang media program itu, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi TV Alhijrah Dr Abu Bakar Sarpon.

Ustaz Awang Suffian berkata, dianggarkan lebih 2,000 pengunjung akan menghadiri program itu, manakala seramai empat juta penonton akan menonton siaran langsung menerusi rakan penyiar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 5:36 AM