AWANG Suffian (tengah) bersama PU Yeop dan Anas menunjukkan aplikasi Jom Menyumbang bagi membantu pelarian Palestin dan Syria. FOTO Rohanis Shukri
AWANG Suffian (tengah) bersama PU Yeop dan Anas menunjukkan aplikasi Jom Menyumbang bagi membantu pelarian Palestin dan Syria. FOTO Rohanis Shukri
Mohd Firdaus Ibrahim dan Noriza Sainal


BAGI menyelami keperitan pelarian Palestin dan Syria, seramai 15 sukarelawan Aman Palestin Berhad akan ‘tinggal’ di Kem Pelarian Al Awda, Lubnan, menerusi misi kemanusiaan dijadualkan, Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad Ustaz Awang Suffian Awang Piut berkata, rombongan sukarelawan berkenaan diketuai Pengarah Media Aman Palestin Ustaz Anas Abdul Wahab.

“Kem pelarian itu menempatkan pelarian Palestin dan Syria. Sukarelawan akan tinggal bersama mereka selama dua minggu dari 15 hingga 20 Januari 2019,” katanya pada sidang media di Bangi, hari ini.

Menurutnya, selain menyelami keperitan akibat tersepit dalam konflik berdarah, sukarelawan Aman Palestin juga akan mengagihkan sumbangan kepada pelarian yang berlindung di kem berkenaan.

“Sebanyak RM250,000 akan disalurkan di kawasan Beqaa dan Aarshal, yang terletak di tenggara, Lubnan. Nilai itu membabitkan agihan 1,000 pek makanan yang bernilai RM250 setiap satu bagi menampung keperluan 1,000 keluarga,” katanya.

Awang Suffian berkata, sukarelawan juga akan menjalankan aktiviti khidmat masyarakat seperti membaiki khemah, membersihkan persekitaran kem dan membantu urusan pentadbiran.

Bagi menjayakan misi berkenaan, katanya, pihaknya turut melancarkan aplikasi Jom Menyumbang yang boleh dimuat turun di Play Store bagi pengguna Android.

“Aplikasi ini sebenarnya mula digunakan pada Jun lalu dan menerima sambutan sangat baik.

“Saya merayu kepada rakyat Malaysia supaya terus menyumbang kepada Aman Palestin, agar lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada saudara Muslim kita di Palestin dan Syria,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Awang Suffian berkata, perarakan Great Return March (GRM) di Gaza terus mendapat sokongan daripada rakyat Palestin.

“Jumlah kematian direkodkan kini sudah mencecah 200 orang manakala lebih 1,000 yang lain cedera. Rakyat Palestin sangat memerlukan bantuan perubatan dan makanan. Banyak hospital kehabisan bekalan ubat-ubatan dan sesak dengan mangsa mengalami kecederaan.

“Marilah membantu saudara Islam kita dengan menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank atas nama Aman Palestin Berhad iaitu Maybank 562263010787 atau Bank Islam 12029010047880,” katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 9:37 PM