Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SUMBANGAN dana yang diberikan rakyat Malaysia melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada rakyat Palestin disampaikan secara terus melalui pelbagai misi kemanusiaan yang dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Bhd Awang Suffian Awang Piut berkata, sumbangan yang diberikan orang ramai kepada NGO di Malaysia terutama Aman Palestin diserahkan secara terus dan tidak melalui pihak kedutaan.

“Aman Palestin mempunyai pejabat di Palestin iaitu di Gaza, di sana kita salurkan bantuan berkenaan, jadi sumbangan yang diberikan orang ramai adalah sampai.

“Alhamdulillah, isu Palestin adalah isu yang besar dan memerlukan penglibatan semua pihak.

“Kita tidak menyalurkan pada satu saluran sahaja, mungkin ada beberapa pihak tidak selesa jika sumbangan disampaikan melalui satu saluran sahaja, NGO yang ada di Malaysia akan menyerahkan menerusi misi-misi bantuan.

“Mereka pergi ke Tebing Barat, Gaza dan Masjid Al-Aqsa untuk menyampaikannya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan sumbangan Ramadan Bersama Palestin 2020 di Bangi, hari ini.

KETUA Pegawai Eksekutif, Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut (tengah), Pengarah Media dan Korporat, Aman Palestin, Anas Abdul Wahab (kanan) dan Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil (kiri) memegang plakad Gagalkan Pelan Damai "The Deal of the Century" pada Sidang Media di Ibu pejabat Aman Palestin.  FOTO Saifullizan Tamadi
KETUA Pegawai Eksekutif, Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut (tengah), Pengarah Media dan Korporat, Aman Palestin, Anas Abdul Wahab (kanan) dan Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil (kiri) memegang plakad Gagalkan Pelan Damai "The Deal of the Century" pada Sidang Media di Ibu pejabat Aman Palestin. FOTO Saifullizan Tamadi

Awang Suffian berkata, isu berhubung dana tidak sampai kepada Jabatan Waqaf Baitulmaqdis bukan isu baru sebaliknya Aman Palestin sudah berjumpa pihak kedutaan pada 2012

“Pada 2012, saya sendiri menerangkan perkara ini kepada Duta Palestin di Malaysia. Kami sudah menyatakannya ketika itu.

“Kita kena melihat kedudukan Palestin dari segi pembahagian politiknya. Palestin dibahagikan kepada Hamas dan Fatah.

“Kebanyakan rakyat Malaysia menyokong perjuangan dipelopori Hamas sebab mereka lebih dekat dengan perjuangan pembebasan rakyat Palestin sementara Fatah dikuasai PLO (Pertubuhan Pembebasan Palestin),” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini tidak timbul masalah dan sebarang kesulitan jika agihan bantuan tidak melalui pihak kedutaan memandangkan wujud pelbagai saluran boleh digunakan NGO termasuk bantuan dari rakyat tempatan.

“Bantuan ke Masjidil Aqsa bukan tak sampai, sampai...tapi bukan melalui kedutaan Palestin di Malaysia. Memang sifat rakyat Malaysia yang mahu sampaikan secara terus akan tanya projek ini untuk apa dan ke mana ia disalurkan.

“Aman Palestin juga, kita memberikan secara terus. Kita ada pejabat sendiri di Palestin untuk membolehkan bantuan dihantar terus ke Gaza, Tebing Barat dan Masjidil Aqsa,” katanya.

Duta Palestin di Malaysia Walid Abu Ali semalam memaklumkan sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin untuk tujuan pembangunan dan pembebasan Masjid Al-Aqsa tidak sampai kepada pihak pengurusan di negara itu.

Berita berkaitan:

  • Dana rakyat Malaysia untuk Masjid al-Aqsa diseleweng? [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 3:35 PM