PENGUATKUASA DBKL menyita barangan dalam beberapa premis ketika operasi di sekitar pusat bandar raya.
PENGUATKUASA DBKL menyita barangan dalam beberapa premis ketika operasi di sekitar pusat bandar raya.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Lokasi perniagaan ‘Ali Baba’ yang disewa warga asing terutama sekitar Jalan Silang di sini, digempur penguatkuasa Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) selepas mendapati keadaan semakin tidak terkawal.

Kewujudan premis perniagaan yang menjadi ‘lubuk wang’ kepada warga Bangladesh itu didapati berpunca sikap peniaga tempatan yang menyewakan premis mereka kepada warga asing.

Terbaru dalam operasi pagi semalam, pihak DBKL menyita pelbagai barang dari 11 premis yang di lokasi berkenaan selepas didapati menyalahgunakan lesen perniagaan.

Operasi bermula jam 10 pagi itu memberi tumpuan kepada peniaga yang menjalankan perniagaan barang yang tidak diisytiharkan seperti dalam lesen ketika mereka memohon lesen perniagaan.

Jurucakap Penguatkuasa DBKL berkata, operasi membabitkan 60 anggota DBKL itu mengesan pemilik premis warga tempatan menyewakan lot kedai kepada warga asing.

“Justeru, operasi ini adalah salah satu daripada usaha DBKL mengekang aktiviti perniagaan yang didominasi warga asing di Jalan Silang di sini, kerana kebanyakan premis ini mempunyai lesen.

“Bagaimanapun kami mengambil tindakan dengan menyita barang jualan yang tidak termaktub dalam lesen pernigaan mereka. Sebagai contoh di dalam lesen mereka menjalankan perniagaan alat telekomunikasi. Namun mendapati barangan seperti permaidani turut dijual,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, barangan lain yang turut disita adalah kaunter pameran, beg, tilam dan telefon pintar yang dibawa ke stor DBKL di Cheras.

Menurutnya, sikap pemilik premis warga tempatan yang mahu mendapatkan wang mudah dengan menyewakan premis kepada warga asing menyumbang kepada ‘penjajahan’ warga asing di ibu kota.

“Golongan ini sepatutnya mempunyai kesedaran, malah mereka juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang apabila bekerjasama dengan warga asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 4:27 AM