GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pergi membeli barang, ke tandas atau surau antara alasan sering digunakan peniaga warga tempatan ketika pemeriksaan mengejut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di premis perniagaan termasuk pasar borong yang dikendalikan warga asing.

Mendedahkan modus operandi licik itu, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, alasan itu sering digunakan peniaga yang dikesan mengalibabakan lesen kepada warga asing.

Beliau berkata, pemilik lesen perlu berada di premis ketika pemeriksaan dijalankan namun sering memberi alasan supaya tindakan mereka itu tidak dapat dikesan pihak berkuasa selain bimbang lesen dibatalkan.

"Isu mengalibabakan lesen perniagaan bukan isu baharu dan DBKL sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan mengejut untuk memastikan warga tempatan tidak salah guna lesen yang diberikan dan kaut keuntungan mudah.

"DBKL sedar masalah ini berlaku dan sentiasa memantau kegiatan ini dari terus disalahgunakan warga tempatan. Intipan dan risikan juga dilakukan DBKL khususnya di lokasi strategik seperti pasar borong supaya masalah ini dikawal," katanya ketika Taklimat Media Mengenai Isu Penjaja Warga Asing di Menara DBKL, hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Anuar berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 53 lesen penjaja warga tempatan dibatalkan DBKL kerana dikesan disewa kepada warga asing selain menggunakan warga asing sebagai pekerja.

Malah, 277 premis yang dikendalikan warga asing disita sepanjang Mei hingga Ogos tahun ini khususnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, DBKL akan terus memantau dan operasi berterusan dijalankan untuk memastikan kesinambungan operasi pengesanan penjaja warga asing dilaksanakan sepanjang masa.

"Masyarakat digesa menyalurkan maklumat kepada DBKL sekiranya ada premis yang masih diusahakan warga asing supaya tindakan segera dapat diambil.

"Masyarakat tidak perlu menyokong perniagaan dijalankan warga asing kerana apabila permintaan tinggi maka mereka sudah pasti akan meneruskan operasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 7:01 PM