OPERASI DBKL bersama PDRM) dan Jabatan Imigresen menumpukan premis perniagaan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO ihsan DBKL
OPERASI DBKL bersama PDRM) dan Jabatan Imigresen menumpukan premis perniagaan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. FOTO ihsan DBKL
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 10 perniagaan yang dijalankan warga asing dalam serbuan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL Osman Ismail berkata, operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu menumpukan premis perniagaan di sekitar pasar berkenaan.

"DBKL turut mengambil tindakan menutup satu premis yang dijalankan warga asing mengikut Seksyen 101 (1) (v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Selain itu, satu lagi premis dikompaun kerana beroperasi tanpa lesen dan tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 20(1)(b) Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2016," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Osman berkata, sejak Januari sehingga kini, pihaknya menyita 106 premis perniagaan yang dijalankan warga asing di sekitar Pasar Harian Selayang (PHS) dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

"Operasi dijalankan setiap masa, tetapi hari ini kita sita, esok mereka beroperasi semula, seolah-olah tidak takut dengan tindakan yang diambil kerana kita hanya boleh menyita dan membatalkan lesen sahaja," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga mengesan taktik baru yang digunakan warga asing untuk menjalankan kembali perniagaan mereka.

"Kebanyakan pemilik lesen ini adalah isteri atau keluarga kepada warga asing terbabit dan ada juga yang membeli lesen dari orang tempatan.

"Memang diakui perkara ini ada namun tindakan DBKL hanya kepada premis dan lesen perniagaan sahaja dan tidak ada kuasa untuk menahan warga asing.

"Disebabkan itu, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Perlesenan DBKL kini menukar strategi dengan menyenarai hitam lokasi yang dibatalkan lesen," katanya.

Berita berkaitan:

  • Simpan sayur dalam longkang
  • Premis disewa warga asing tak beroperasi
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 1:12 PM