Dr Zaliha ketika sesi soal jawab Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO BERNAMA
Dr Zaliha ketika sesi soal jawab Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Sebanyak 34 tindakan sitaan dilaksana dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, terhadap barang dagangan warga asing di sekitar kawasan 'Mini Dhaka' yang terletak di Jalan Silang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga melaksanakan Operasi Tindakan Bersepadu Roboh Struktur Sekatan Dalaman di lokasi itu pada 5 Mac lalu.

"Menerusi operasi itu di bawah Seksyen 79 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, sebanyak 108 struktur sekatan yang dibina tanpa kelulusan di empat premis yang dijadikan pecahan lot dan kemudiannya digunakan sebagai bilik sewa atau rumah pekerja warga asing telah dirobohkan.

"DBKL juga telah menugaskan anggota penguat kuasa bagi membuat pemantauan ke atas aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh warga asing di lokasi hotspot melalui kamera litar tertutup (CCTV)," katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengenai tindakan jangka masa panjang DBKL dalam menangani masalah sosial seperti 'Mini Dhaka' yang sering muncul selepas operasi penangkapan warga asing tanpa izin dilaksana.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha turut mengakui lambakan warga asing di ibu kota telah menimbulkan ketidakselesaan dan kacau ganggu kepada warga kota.

Katanya, antara masalah sosial adalah 'tumbuhnya' gerai haram milik warga asing yang terpaksa mencari pendapatan bagi kelangsungan hidup dan aktiviti pelacuran dalam kalangan wanita warga asing.

Selain itu, masalah lain yang muncul adalah ancaman keselamatan kepada warga kota kerana adakalanya timbul kes pergaduhan dalam kalangan mereka, di samping masalah pencemaran pemandangan serta isu kebersihan akibat gelandangan warga asing.

"Tidak keterlaluan jika dikatakan lambakan warga asing ini juga menyebabkan penempatan di ibu kota menjadi sangat padat sehingga harga sewa rumah atau bilik menjadi sangat mahal.

"Dalam masa yang sama menyukarkan penyasaran subsidi kerajaan yang sepatutnya dinikmati oleh warganegara berpendapatan rendah, selain pelbagai lagi masalah sosioekonomi yang timbul daripada cara hidup warga asing ini yang berbeza dengan norma hidup tempatan," katanya.

Menurutnya, DBKL dari semasa ke semasa menguatkuasakan undang-undang dengan melaksana pemantauan dan rondaan secara berkala terhadap aktiviti yang dijalankan oleh warga asing terutama dalam bidang perniagaan.

Menjawab soalan Mohd Hisamudin mengenai tindakan terhadap rakyat tempatan yang menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing, Dr Zaliha berkata, antara tindakan yang diambil oleh DBKL adalah pembatalan lesen sekiranya terbukti bersalah.

"Di bulan Ramadan ini, DBKL turut menjalankan tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan kompaun ke atas pemilik lesen yang menyewakan lesen bazar Ramadan dan Aidilfitri kepada pihak-pihak lain.

"Bagi tiga tahun yang terakhir 2022 sehingga Februari tahun ini 2024, kita telah membatalkan 321 lesen premis dan 66 lesen penjaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 2:08 PM