THITH, isteri dan anak-anaknya ketika mendaftar masuk di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.
THITH, isteri dan anak-anaknya ketika mendaftar masuk di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.
Suraya Roslan

Kelana Jaya: “Semoga saya mendapat haji mabrur walaupun pergi dalam keadaan uzur,” kata Thith Kemat, 76.

Warga emas yang hanya bekerja kampung itu dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu bersama isteri, Sharifah Ros, 67, diiringi anak, Rahman, 51, dan menantu Zurayah Jalal, 45.

Thith berkata, dia menunggu tempoh 10 tahun untuk dijemput menjadi tetamu Allah walaupun dalam keadaan uzur dan memerlukan pertolongan anak serta menantu untuk menolak kerusi roda.

“Alhamdulillah penantian selama 10 tahun diakhiri dengan kemanisan apabila Allah memberi peluang kepada kami untuk mengerjakan haji.

“Walaupun keuzuran, saya akan melakukan sebaik mungkin supaya dapat haji mabrur,” kata bapa 13 anak dan 28 cucu itu.

Dia yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, sebelum ini dia pernah membuat rayuan bagaimanapun siapa mampu menidakkan ketentuan rezeki Allah.

“Rayuan kami tidak diterima ketika diri masih kuat untuk beribadat, tetapi kami menganggap ia bukan rezeki untuk menjadi tetamu Allah,” katanya.

Bagi anak kedua Thith iaitu Rahman, dia sangat bersyukur apabila diterima menjadi pengiring kepada orang tua selain dapat berbakti di hujung usia mereka.

“Sepatutnya giliran kami 17 tahun lagi iaitu 2034 namun rezeki Allah kami dapat menunaikan haji secepat ini.

“Terima kasih kepada orang tua kami, memang kami sentiasa berdoa supaya dipanggil ke Tanah Suci tahun ini, Alhamdulillah Allah makbulkan doa kami,” kata pesara tentera itu.

Katanya, rezekinya juga tidak disangka-sangka apabila dipilih dalam kalangan 12 adik beradik yang lain untuk menjadi pengiring ibu bapanya.

“Abang sulung sudah pergi menunaikan haji tahun lalu, mungkin kerana saya anak kedua maka ayah menawarkan tugas menjadi pengiring kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 10:09 AM