Abu Bakar (lima dari kiri) bergambar bersama dengan ahli keluarga di maktab penginapan mereka. FOTO Nasharuddin Muhammad
Abu Bakar (lima dari kiri) bergambar bersama dengan ahli keluarga di maktab penginapan mereka. FOTO Nasharuddin Muhammad
Nasharuddin Muhammad


“SAYA anggap ini anugerah terbesar diberikan Allah SWT sempena persaraan saya,” kata Abu Bakar Mohd Yusof, 60.

Betapa tidak, dua hari selepas persaraan pada awal Mei lalu, dia menerima surat tawaran menunaikan ibadat haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH).

Kegembiraannya berganda apabila bukan hanya dia dan isteri, Faridah Adam, 58, yang menerima tawaran menjadi tetamu Allah, malah lima anak serta seorang menantu perempuan turut terpilih ke Tanah Suci.

"Alhamdulillah, semua ini rezeki daripada Allah untuk kami anak beranak dapat berangkat ke Tanah Suci," kata pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berasal dari Batu Pahat, Johor itu.

Lima anak Abu Bakar yang berangkat ke Tanah Suci ialah Muhammad Amir Fitri, 29, Nur Ain Natasah, 26, Nur Jannatul Ain, 25, Nur Ain Nabilah, 23, dan Muhammad Amir Firdaus, 18, serta menantu, Nur Farhana Mohd Razali, 31.

Menurutnya, itulah anugerah Allah paling besar diperoleh dirinya dan ahli keluarga sempena persaraannya.

"Sabtu saya bersara, pada Isnin, kami dapat surat tawaran dihantar posmen daripada TH untuk menunaikan haji," katanya ketika ditemui di maktab penginapannya.

Mengenai rahsianya berpeluang berangkat bersama semua ahli keluarga menunaikan rukun Islam kelima itu, Abu Bakar berkata, menjadi amalannya membuka akaun TH untuk semua anaknya sebaik mereka lahir atau masih kecil.

Menurutnya, dia hanya menyimpan RM20 sebulan untuk semua anak-anaknya dengan niat untuk menunaikan ibadat haji.

"Sebenarnya tempoh antara 10 hingga 20 tahun memang cukup untuk menyimpan duit bagi menunaikan haji.

"Saya pun bermula dengan RM20 sebulan untuk anak-anak dan Alhamdulillah," katanya yang kini menetap di ibu negara.

Katanya, dia mula mendaftar untuk menunaikan ibadat haji sejak 2007 dan selepas 10 tahun menunggu, akhirnya dipanggil untuk ke Tanah Suci.

"Sebenarnya dua tahun lalu pada 2015, saya sudah mendapat panggilan ke Tanah Suci tetapi terpaksa menolaknya kerana kebetulan menguruskan perkahwinan anak," katanya.

Justeru, dia menasihatkan ibu bapa supaya mula menabung dan membuka akaun TH untuk anak sejak mereka kecil.

"Insya-Allah dalam tempoh 10 hingga 20 tahun jumlah simpanan akan cukup untuk mereka menunaikan haji. Galakkan juga anak membuat tabungan sendiri," katanya yang pernah menunaikan umrah sebelum ini.

Mengenai aktiviti mereka sekeluarga sepanjang berada di Tanah Suci, Abu Bakar berkata, mereka anak beranak akan melakukannya bersama seperti menunaikan solat di Masjidilharam serta beriktikaf.

"Pendek kata semuanya dilakukan bersama, sehati sejiwa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 9:25 PM