Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur: Orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu terus menjadi mata serta telinga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan berkongsi maklumat berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini.

Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kejayaan SPRM di bawah kepemimpinan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad membongkar jenayah rasuah dan salah guna kuasa tidak boleh dinafikan kerana ia mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, ia seharusnya mendapat pujian dan sokongan semua pihak kerana kejayaan itu membuktikan mereka serius dalam menangani musuh nombor satu negara itu.

“Sehubungan itu saya menasihatkan orang ramai dan NGO supaya terus menjadi mata dan telinga SPRM. Segera membuat laporan kepada agensi itu sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.

Lee berkata, banyak pihak termasuk agensi Kerajaan Pusat dan negeri serta pihak swasta turut menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) untuk memerangi masalah itu dalam organisasi mereka melalui kerjasama dengan SPRM.

Katanya, tindakan itu sekali gus menunjukkan semakin ramai yang sedar kepentingan memerangi rasuah demi kesejahteraan negara dan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 8:30 AM