HALIMAH (duduk, kanan) bersama ahli keluarga di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, semalam.
HALIMAH (duduk, kanan) bersama ahli keluarga di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, semalam.
Suraya Roslan


Kelana Jaya: Dua cucu ini tidak menyangka dapat berbakti di hujung usia nenek dan datuk masing-masing dan menganggap pemilihan mereka menunaikan ibadat haji rezeki tidak disangka-sangka.

Bayangkan dalam puluhan cucu, kedua-dua mereka dipilih untuk mengiringi dua warga emas ini menunaikan rukun Islam kelima itu.

Bagi Dazulhisham M Daud, 44, pemilihannya mengiringi nenek, Halimah Daud, 80, dianggap satu rahmat dan rezeki datang bergolek.

“Saya cucu sulung dan sangat rapat dengan nenek. Mungkin kerana itu saya dipilih dalam kalangan 40 cucu lain.

“Alhamdulillah kesempatan ini dapat digunakan sepenuhnya untuk berbakti dengan nenek di akhir usianya,” kata bapa kepada lima anak itu.

Dia yang juga kontraktor untuk syarikat minyak dan gas berkata, ia merupakan kesepakatan antara cucu, ibu dan bapa saudara mereka bagi memastikan nenek tersayang dapat melakukan ibadat itu sebaik mungkin.

“Saya anggap ini tanggungjawab besar berbakti kepada nenek, selain menunaikan amanah ibu dan bapa saudara yang lain.

“Diharap nenek boleh mengharungi ibadat ini dengan sebaiknya,” katanya.

Bagi Halimah, dia berterima kasih kepada lapan anak yang banyak membantu mencukupkan tabungan simpanan Tabung Haji lantaran dirinya hanya bekerja kampung di Bachok, Kelantan.

“Saya menunggu 12 tahun untuk menunaikan haji dan alhamdulillah rezeki menjadi tetamu Allah digunakan sebaiknya di hujung usia ini.

“Terima kasih kepada lapan anak, 40 cucu dan 30 cicit yang banyak menjaga saya selama ini,” katanya yang kematian suami.

Pengalaman sama turut dikongsi seorang cucu, Muhammad Harizi Mohamed Ali, 36, yang dipilih mengiringi datuknya Mohd Patrol Hassan yang berusia 76 tahun.

“Saya cucu sulung dan hasil kesepakatan bersama keluarga, mereka meminta saya menemani datuk untuk mengerjakan haji berikutan dua bapa saudara lagi tidak dapat berbuat demikian.

“Ini rezeki saya untuk berbakti kepada orang tua selain melakukan ibadat ini sebaik mungkin, jika ada rezeki lagi saya ingin ke tanah suci pula bersama isteri,” katanya yang bekerja sendiri.

Bagi Mohd Patrol, pendapatan menjual nanas dijadikan simpanan untuk ke tanah suci.

“Saya simpan duit sendiri menerusi hasil jualan nanas yang ditanam sendiri, Alhamdulillah tabungan mencukupi dan saya akhirnya dipanggil selepas 10 tahun menunggu,” katanya yang kematian isteri akibat kanser pada 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 4:36 AM