SEBAHAGIAN rumah yang rosak di landa ribut dalam kejadian 4.45 petang tadi di empat kampung di kawasan Pengkalan Kubor. FOTO ihsan pembaca
SEBAHAGIAN rumah yang rosak di landa ribut dalam kejadian 4.45 petang tadi di empat kampung di kawasan Pengkalan Kubor. FOTO ihsan pembaca
Mohamad Zulhairie Manzaidi


SEKURANG-KURANGNYA 10 rumah di empat kampung di Pengkalan Kubor, Tumpat dan beberapa kenderaan rosak akibat ribut pada 4.45 petang, hari ini.

Kampung terbabit adalah Kampung Tebing, Geting, Tujoh dan Neting.

Penduduk Kampung Geting, Roslina Jaafar, 37 berkata, kejadian itu menyebabkan rumahnya hampir terbakar apabila berlaku litar pintas.

"Ada pokok tumbang ketika ribut itu dan menghempap rumah jiran saya. Akibatnya, turut berlaku lintas pintas di rumah saya dan jiran yang lain.

"Mujur saya sempat menutup suis utama, jika tidak, tentu lebih teruk kerana sebelum kejadian itu, saya keluar mengambil anak di sekolah berhampiran.

"Saya pulang ke rumah kira-kira 5 petang dan terhidu bau hangit sebelum melihat dua televisyen dan lima kipas mula mengeluarkan api," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dia juga bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku akibat ribut berkenaan.

"Saya difahamkan ribut agak serius juga kerana banyak pokok yang tumbang menghempap rumah dan kenderaan.

"Syukur saya tidak menerima kerosakan serius dan ahli keluarga saya juga selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Abdullah berkata, pihaknya hanya menerima satu panggilan kecemasan berhubung ribut pada 4.58 petang.

Katanya, panggilan membabitkan sebuah rumah di Kampung Geting yang dihempap pokok dan tindakan pembersihan segera diambil sejurus tiba.

"Dalam masa sama kami masih mengenal pasti jumlah sebenar rumah yang terjejas dan nilai rosak akibat kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 12:11 AM