Siti Rohana Idris


Tumpat: "Kami terkejut mendengar bunyi dentuman yang kuat namun tidak menyangka batang pokok bacang menghempap dapur rumah," kata Azmi Latif dari Kampung Bunohan, di sini.

Azmi, 36, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi menyebabkan bumbung bahagian dapur rumah mentuanya ranap dan beberapa peralatan rosak.

"Kejadian berlaku ketika kami sekeluarga sedang tidur dan tiba-tiba bunyi dentuman yang sangat kuat mengejutkan kami.

"Saya keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku namun tiada apa-apa sebelum ke dapur dan ternampak batang pokok bacang sudah menghempap bumbung," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azmi berkata, sejak malam tadi lagi hujan melanda kampung itu disusuli angin kuat namun tidak menyangka akan menyebabkan kejadian pokok tumbang.

Difahamkan lebih dari lima rumah di daerah ini musnah ditimpa pokok tumbang akibat angin kencang melanda hari ini, iaitu di Kampung Kubang Batang, Tebing, Cherang Melintang, Bunohan serta Kampung Teluk Renjuna.

Seorang lagi mangsa, Mohd Nawi Ummah, 65, kejadian berlaku pada 7 pagi tadi apabila sebatang pokok kelapa tumbang menghempap rumahnya menyebabkan separuh daripada binaan musnah.

"Mujur ketika kejadian saya tiada di rumah kerana bermalam di sebuah lagi rumah di Kampung Tikat, Kota Bharu.

"Saya menerima panggilan daripada seorang ahli keluarga yang meminta saya segera pulang kerana rumah sudah ranap dihempap pokok kelapa.

"Sebaik tiba, alangkah terkejutnya kerana melihat kerosakan yang berlaku terhadap rumah pusaka sekali gus semua kelengkapan rumah turut musnah tapi tetap bersyukur kerana saya tiada di rumah ini pagi tadi," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Palekbang, di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Mohd Anuar Yacob berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga kes pokok tumbang di kawasan itu.

Katanya, aduan yang diterima sejak jam 7.12 pagi membabitkan Kampung Pauh Sebanjar, Bunohan dan Tebing dalam parlimen Pengkalan Kubor.

"Dua daripada laporan itu membabitkan kerosakan rumah kediaman akibat pokok tumbang manakala satu lagi menghalang jalan raya dan setakat ini tiada membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa," katanya.

 KEADAAN bahagian dapur rumah milik mentua Azmi di Kampung Bunohan yang ditimpa pokok bacang. FOTO Ihsan Azmi Latif
KEADAAN bahagian dapur rumah milik mentua Azmi di Kampung Bunohan yang ditimpa pokok bacang. FOTO Ihsan Azmi Latif

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 4:32 PM