POLIS Israel mengelilingi mayat anggota polis yang ditembak mati di luar perkarangan Masjid Al-Aqsa pada 14 Julai. FOTO AFP
POLIS Israel mengelilingi mayat anggota polis yang ditembak mati di luar perkarangan Masjid Al-Aqsa pada 14 Julai. FOTO AFP
Siti A'isyah Sukaimi


TINDAKAN provokatif Israel menutup Masjid Al-Aqsa, Jumaat lalu adalah pencabulan secara terbuka terhadap tapak suci dan pelanggaran hak umat Islam untuk beribadah dengan bebas tanpa sebarang halangan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Luar, kebebasan beribadah adalah hak yang dijamin di bawah undang-undang antarabangsa dan sebarang pencabulannya harus ditentang habis-habisan.

"Justeru, kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya penutupan Masjid Al-Aqsa oleh pihak berkuasa Israel pada 14 Julai lalu.

"Tindakan pihak berkuasa Israel menghalang umat Islam untuk beribadah di masjid itu bertentangan dengan undang-undang dan norma antarabangsa," katanya menerusi kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, tindakan berkenaan adalah kali pertama umat Islam dihalang menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa sejak 1969.

"Malaysia menuntut Israel segera menarik semula larangan ke atas umat Islam beribadah di masjid itu dan memberhentikan sebarang tindakan yang boleh mengubah status quo tapak suci bagi umat Islam," katanya.

Media antarabangsa hari ini melaporkan, masjid berkenaan kekal tutup sehari selepas dua anggota polis Israel ditembak mati di luar perkarangannya.

Perkarangan masjid berkenaan ditutup oleh polis Israel selepas tiga penduduk Palestin menembak mati dua askar Israel di Kota Lama Baitulmaqdis.

Solat Jumaat di masjid berkenaan juga dibatalkan.

Ketiga-tiga penduduk Palestin itu kemudian terbunuh selepas ditembak polis Israel di perkarangan masjid itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 12:56 PM