Reuters

Baitulmaqdis: Polis Israel menyerang puluhan umat Islam di perkarangan Masjid al-Aqsa sebelum subuh pada Rabu, kata saksi.

Bagaimanapun, polis Israel mendakwa tindakan itu adalah tindak balas terhadap rusuhan.

Insiden itu mencetuskan protes di Tebing Barat dan tentera Israel berkata, sembilan roket dilancarkan dari Gaza ke arah Israel, selepas siren amaran dibunyikan di bandar-bandar selatan.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata, tujuh warga Palestin cedera terkena peluru getah dan akibat dipukul dalam pertempuran dengan polis Israel di perkarangan Masjid al-Aqsa.

Ia juga berkata, polis Israel menghalang pasukan perubatan untuk memasuki kawasan berkenaan.

"Saya duduk di atas kerusi dan membaca (al-Quran)," wanita tua memberitahu Reuters sambil duduk di luar masjid dan bernafas secara tercungap-cungap.

'Mereka melontarkan bom asap, salah satunya terkena dada saya," katanya sambil mula menangis.

PENGAWAL sempadan Israel berkawal di luar perkarangan Masjid Al-Aqsa ketika pertempuran dengan warga Palestin. FOTO  AFP
PENGAWAL sempadan Israel berkawal di luar perkarangan Masjid Al-Aqsa ketika pertempuran dengan warga Palestin. FOTO AFP

Polis Israel pula dalam kenyataan mendakwa bahawa pasukannya terpaksa memasuki perkarangan Masjid al-Aqsa selepas perusuh bertopeng menyembunyikan diri di masjid, dengan bunga api, batang dan batu.

"Apabila polis masuk, batu dilontar terhadap mereka dan bunga api dinyalakan dari dalam masjid oleh kumpulan besar perusuh," kata kenyataan itu, sambil mendakwa seorang pegawai polis cedera di kaki.

Keganasan di Tebing Barat yang diduduki dan Baitulmaqdis meningkat sejak tahun lalu dan ada kebimbangan ia akan bertambah buruk pada bulan Ramadan apabila bulan suci umat Islam itu bertembung dengan dua perayaan keagamaan Yahudi dan Kristian.

Kumpulan Palestin menyelar serangan Israel itu yang disifatkan mereka sebagai jenayah.

"Kami memberi amaran bahawa pencerobohan di tapak suci akan menyebabkan letupan besar," kata Nabil Abu Rudeineh, jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 9:28 AM