SEBUAH keluarga terpaksa  menumpang di sekolah selepas rumah mereka musnah dibedil tentera Zionis Israel.
SEBUAH keluarga terpaksa menumpang di sekolah selepas rumah mereka musnah dibedil tentera Zionis Israel.
Datuk Dr Luqman Abdullah

BARU-BARU ini kita dikejutkan sekali lagi dengan kebiadaban Israel mencemarkan kemuliaan Ramadan dengan menyerang penduduk Palestin yang sedang beribadah di pekarangan Masjid Al-Aqsa. Lebih 163 cedera dengan tindakan yang dilakukan oleh rejim Zionis itu.  Mereka menggunakan peluru getah dan bom gas mengganggu umat Islam yang sedang menunaikan solat sunat Tarawih.

Tindakan terbabit  yang dianggap sebagai jenayah perang adalah rentetan daripada protes rakyat Palestin terhadap larangan yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel terhadap beberapa bahagian kota Lama Baitulmuqaddis daripada dimasuki ketika bulan Ramadan.

Tindakan itu menggambarkan kezaliman Israel dan kebiadaban mereka terhadap tempat ketiga paling suci bagi umat Islam. Pencerobohan yang dilakukan bukan sahaja menimbulkan reaksi kemarahan rakyat Palestin, bahkan umat Islam seluruh dunia mengutuk keras tindakan yang dijalankan oleh rejim Zionis Israel.

Serangan yang dilancarkan oleh rejim Zionis pada 8 Mei lalu  bukan sesuatu yang baharu. Ia rentetan daripada tuntutan dan dakwaan Zionis Israel yang mengatakan bahawa kawasan Masjid Al-Aqsa itu adalah Temple Mount  iaitu kuil suci bagi orang Yahudi.

Ia juga adalah bertitik tolak daripada siri gerakan penguasaan Israel terhadap timur Baitulmaqdis ketika Perang Arab-Israel pada 1967 dan seluruh bandar berkenaan pada 1980. Bertitik tolak daripada peristiwa itu, beberapa percubaan dilakukan oleh rejim untuk menafikan hak umat Islam terhadap Masjid Al-Aqsa.

Pada masa sama ketika ini juga, berlaku pengusiran rakyat Palestin di kawasan Syeikh Al-Jarrah, di mana penduduk asal yang sudah menetap berpuluh-puluh tahun di sana dihalau keluar oleh keputusan mahkamah yang tidak adil untuk membolehkan penduduk Yahudi membina penempatan haram di lokasi itu.

Masjid al-Aqsa menurut perspektif Islam

Masjid al-Aqsa adalah kiblat sekalian nabi dan kiblat terawal umat Islam.  Ia juga salah satu masjid yang sangat digalakkan oleh Nabi SAW untuk diziarahi dan menunaikan solat di situ.

Abu Sa'id Al-Khudri meriwayatkan, Nabi SAW bersabda: "Tidak boleh bermusafir melainkan menuju ke tiga buah masjid. Masjid Al-Haram (Makkah), Masjid al-Aqsa dan masjid saya ini (Masjid Nabawi)." (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Imam Badruddin Al-'Aini menjelaskan berkenaan maksud di sebalik hadis ini. Beliau menyatakan:  "Dalam hadis berkenaan menjelaskan kelebihan ketiga-tiga masjid dan keistimewaan yang dimiliki yang tiada pada masjid yang lain. Ia adalah masjid sekalian Nabi AS. Ini kerana Masjidil Haram adalah kiblat bagi manusia. Ramai orang berpusu-pusu menuju ke Masjidil Haram. Masjid Nabawi pula diasaskan atas dasar iman dan takwa manakala Masjid al-Aqsa adalah kiblat umat yang terdahulu." (Umdah Al-Qari Syarh Sahih Al-Bukhar)

Kelebihan Masjid al-Aqsa terlihat jelas dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Ia adalah destinasi terakhir Nabi SAW sebelum Nabi SAW diangkat ke langit bertemu Allah SWT.

Allah berfirman: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haraam (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra, ayat 1)

Sebahagian ahli tafsir menyebut Masjid al-Aqsa adalah binaan kedua yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS setelah Kaabah. Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Tahir Ibn 'Asyur dalam tafsir beliau.

Ia juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar RA. Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:   "Wahai Rasulullah, masjid apa yang paling awal dibina? Baginda menjawab Masjidil Haram. Abu Zar bertanya lagi: Kemudian masjid apa? Baginda menjawab: Masjid al-Aqsa. Saya (Abu Zar) bertanya lagi: Berapakah tempoh binaan antara kedua masjid tersebut? Baginda menjawab: 40 tahun. Sesiapa yang berada di mana-mana tempat tersebut, tunaikan solat di situ. Ini kerana ada kelebihan di tempat tersebut." (Hadis Riwayat  Bukhari)

Di samping itu, Masjid al-Aqsa sangat berkait rapat dengan sejarah para Nabi terdahulu yang diutuskan oleh Allah SWT. Ia dianggap sebagai kawasan suci umat Islam. Oleh itu, al-Quran menggelarkan Palestin sebagai tanah yang suci (Al-Ardh Al-Muqaddasah).

Allah SWT berfirman:  "(Nabi Musa berkata lagi): Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Maidah, Ayat 21)

Termasuk dalam Tanah Suci ini adalah Masjid al-Aqsa. Perkara ini telah dijelaskan dan dihuraikan oleh Imam Al-Tabari dalam tafsirnya. (Jami' Al-Bayan Fi Ta'wil Ayy Al-Quran)

Justeru, Masjid Al-Aqsa mempunyai kedudukan dan keistimewaan di mata umat Islam. Ia bukan sahaja berkait dengan akidah bahkan ia dianggap kawasan suci umat Islam. Hakikatnya, sebarang usaha untuk mencemarkan kesucian Masjid al-Aqsa adalah merupakan satu perbuatan yang boleh mengguris dan menimbulkan kemarahan umat Islam.

Keperluan umat Islam prihatin dalam isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa

Isu Palestin dan Masjid al-Aqsa bukan isu untuk rakyat palestin sahaja. Ia bukan semata-mata isu individu. Ia adalah isu yang melibatkan umat Islam keseluruhannya. Isu yang berlaku kepada Palestin dan Masjid al-Aqsa khususnya tidak boleh dipandang remeh. Memandangkan ia adalah kawasan suci ketiga bagi umat Islam, ia perlu diberikan perhatian khusus. Kelalaian umat Islam terhadap isu yang berlaku di Palestin akan menyebabkan musuh mudah untuk menguasainya. Pihak yang cuba mencemarkan kesuciannya wajib untuk dikecam dan diambil tindakan.

Bagi umat Islam, sejarah Palestin dan Masjid al-Aqsa harus sentiasa didendangkan. Anak-anak bangsa perlu diperingatkan tentang sejarah tanah suci ini. Jika ini tidak dilakukan, kita akan melihat isu Palestin dipandang sepi oleh umat Islam satu hari nanti. Pihak kerajaan harus memainkan peranan agar isu Palestin dan Masjid al-Aqsa sentiasa segar di mata umat Islam.

Semoga Allah menyelamatkan Palestin dan Masjid al-Aqsa daripada cengkaman Zionis Israel. Kita berdoa agar Allah menyelamatkan dan melindungi saudara kita yang berada di sana. Semoga satu hari nanti bumi Palestin bebas daripada kezaliman dan penindasan. Wahai al-Aqsa kami sentiasa bersamamu kamu!

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 5:59 AM