Mohd Azizee Hasan
Mohd Azizee Hasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Tindakan rejim Israel yang menggempur kesucian Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam tekun beribadah di bulan Ramadan yang mulia ini, disifatkan sebagai zalim, ganas dan tidak berperikemanusiaan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata pertubuhan itu mengecam tindakan rejim berkenaan kerana mereka turut mencederakan lebih 200 warga Palestin.

"Tindakan yang dilakukan askar rejim Israel itu satu bentuk pencabulan terhadap hak asasi dunia dan melanggar perundangan antarabangsa.

"Memberi alasan bahawa penduduk Palestin membuat demonstrasi bantahan untuk ketenteraman tidak dapat diterima sama sekali.

"Ini kerana pihak rejim Zionis mengusir beberapa keluarga Palestin di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur secara paksa dan menggunakan kekerasan," katanya tadi.

Laporan media melaporkan dalam kejadian pada malam Jumaat lalu, polis anti rusuhan menyerbu perkarangan masjid Al-Aqsa dengan alasan penduduk Palestin yang berkumpul di situ untuk membuat bantahan.

Mohd Azizee berkata, pertubuhan itu menggesa kerajaan Malaysia yang juga anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengambil langkah proaktif demi menjaga kesucian tanah dan tempat suci umat Islam.

Beliau berkata, kerajaan boleh melobi negara-negara OIC dan Liga Dunia Arab untuk segera bertindak mengekang pencabulan yang tidak berperikemanusian itu.

"Kami (i-Guru) menyeru semua pihak terutama badan-badan hak asasi manusia sedunia memberikan tekanan kepada rejim zionis Israel bagi melindungi kepentingan umat Islam.

"Kami yakin isu Palestin bukan sekadar isu akidah sahaja tetapi ia adalah isu keamanan dan kemanusiaan sejagat yang perlu ditangani oleh semua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 5:40 PM