AMINUDDIN (duduk, dua kiri) bersama calon-calon PAS yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Sabah. FOTO Malai Rosmah Tuah
AMINUDDIN (duduk, dua kiri) bersama calon-calon PAS yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Sabah. FOTO Malai Rosmah Tuah
Suzianah Jiffar dan Olivia Miwil


PAS Sabah mengumumkan 17 muka baharu daripada 24 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Ini termasuk seorang calon bukan Islam, Satail Majungkat, 61, daripada suku kaum Rungus yang akan bertanding buat julung kali bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di Parlimen Kota Belud.

Sebanyak 26 kerusi dengan lapan kerusi Parlimen dan 18 DUN akan ditandingi PAS Sabah pada pilihan raya umum kali ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengumumkan calon berkata, ini adalah pertama kali PAS Sabah meletakkan calon bukan Islam.

“Ada calon Cina, India yang bukan Islam di Pulau Pinang dan Perak serta Negeri Sembilan yang pernah bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya sebelum ini.

“Justeru di Sabah adalah pertama kali. Kita beri kepercayaan kerana kita tegakkan hak rakyat termasuk bukan Islam. Ini menyebabkan ada permohonan daripada orang bukan Islam untuk menyertai PAS.

“Ini juga menyebabkan kita menubuhkan dewan perhimpunan penyokong PAS dalam kalangan bukan Islam di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pengumuman calon PRU-14 PAS Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Sabah Aminuddin Aling.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, PRU-14 turut menyaksikan pertambahan sebanyak 15 kerusi yang akan ditandingi oleh PAS Sabah berbanding hanya 11 kerusi pada PRU-13.

“Dahulu (PRU-13) kita hanya bertanding 11 kerusi dengan dua kerusi Parlimen dan sembilan kerusi DUN.

“Dalam PRU-14, PAS Sabah menampilkan dua calon wanita, satu di DUN Karamunting dan Parlimen Batu Sapi, dan satu lagi di DUN Pitas,” katanya.

Mengenai harapan dan sasaran PAS di Sabah pada PRU-14 ini, Abdul Hadi berkata, sekurang-kurangnya menang satu daripada 26 kerusi yang ditandingi.

“Walaupun banyak parti pembangkang di Sabah, tetapi kita ada strategi dan pengalaman iaitu strategi kita menyampaikan Islam adil untuk semua. Kita juga ada fokus di kawasan tertentu di Sabah.

“Apa yang kita mahu suara rakyat Sabah didengar di Parlimen dan DUN. Kita pernah menang di negeri di Semenanjung yang tidak pernah menang malah Kelantan kita yang memerintah. Selain itu ada kerusi di semua negeri kecuali di Sabah, Sarawak serta Negeri Sembilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 8:48 PM