MANGSA ditemui berlumuran darah. FOTO ihsan polis
MANGSA ditemui berlumuran darah. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LELAKI ditemui dalam keadaan parah kerana dipukul sekumpulan individu di tempat letak kereta Medan Selera Linggi di Limbang, malam tadi.

Mangsa yang berusia lingkungan 40-an itu ditemui kira-kira jam 11 malam oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dilihat dipukul sekumpulan lelaki di kawasan berkenaan sebelum ditinggalkan dalam keadaan lemah dan berlumuran darah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan pada atas kepala, bibir dan dagu.

"Mangsa yang tidak sedarkan diri itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Limbang untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut giat dijalankan dan polis perlu menunggu mangsa stabil sebelum keterangan daripadanya dapat diambil bagi mengetahui motif kejadian.

Mohd Bukhori berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 11:10 AM