Syaherah Mustafa


ENAM beranak terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan jatuh ke dalam parit di Kampung Lubok Jong, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Rantau Panjang, 9 malam tadi.

Bapa mangsa, Mohd Badrudin Mat Daud, 65, berkata, kejadian berlaku ketika anaknya, Nur Asida, 37, dan menantu, Aziz Mohd Noor, 41, bersama empat anak mereka berusia tiga hingga sembilan tahun dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kampungnya di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang.

Katanya, menantunya yang memandu kereta Perodua Myvi cuba memotong kereta Proton Wira, namun terkejut apabila jalan itu sedang dalam proses pembaikan dan dia membrek secara mengejut lalu terbabas ke dalam parit.

“Alhamdulillah anak dan cucu saya tidak cedera. Mereka ada memaklumkan kepada saya bahawa jalan di kawasan itu agak gelap selain tiada papan tanda sesuai bagi memaklumkan kawasan itu dalam proses pembaikan jalan.

KEADAAN satu daripada tiga kereta yang terbabas ke dalam parit di Kampung Lubok Jong, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Rantau Panjang, malam tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
KEADAAN satu daripada tiga kereta yang terbabas ke dalam parit di Kampung Lubok Jong, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Rantau Panjang, malam tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

“Apa yang mengejutkan, apabila saya datang ke tempat kejadian pagi ini, rupanya terdapat dua lagi kereta turut terbabas ke dalam parit dipercayai berlaku awal pagi tadi.

“Pihak bertanggungjawab sepatutnya meletakkan papan tanda atau lampu bersesuaian untuk memaklumkan adanya kerja penurapan atau penyelenggaraan jalan, lebih-lebih lagi jalan ini adalah jalan utama dan dilalui ramai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II Adnan Muhd Juri, berkata pihaknya menerima panggilan pada 9.05 malam dan bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik sampai, mangsa sudah dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) oleh orang ramai, namun kereta masih di dalam parit air sedalam dua meter.

“Kami dimaklumkan pemandu segera keluar menyelamatkan isteri dan anak dari kereta selepas air mula memasuki kereta mereka.

“Kami mencabut bateri kereta bagi mengelak berlaku sebarang perkara tidak diingini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 6:58 PM