PISAU yang dipercayai digunakan untuk mengelar leher seorang penganggur dalam kejadian jam 6.27 petang kelmarin. FOTO Ihsan PDRM
PISAU yang dipercayai digunakan untuk mengelar leher seorang penganggur dalam kejadian jam 6.27 petang kelmarin. FOTO Ihsan PDRM
Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Seorang suspek ditahan polis selepas dipercayai mengelar leher seorang lelaki menggunakan pisau sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa dalam kejadian jam 6.27 petang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata sebaik menerima laporan, pihaknya terus mengesan suspek lelaki itu dan berjaya di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, jam 9 malam, hari yang sama.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine selain mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kes dadah dan jenayah

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 27 Julai sehingga 2 Ogos bagi tujuan tindakan dan siasatan lanjut.

"Berdasarkan maklumat, ibu mangsa yang berusia 50 tahun, tampil membuat laporan polis berkaitan kejadian berkenaan.

"Mangsa yang juga seorang penganggur berusia 32 tahun itu dilaporkan menunggang motosikal ke kedai makan tempat ibunya bekerja untuk meminta bantuan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kama berkata, ibu mangsa terkejut apabila melihat leher anaknya berlumuran darah sebelum terus bergegas mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rantau Panjang.

"Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu serta terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Intensif (ICU)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 2:39 PM