FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Faliq Lajim


LELAKI ditemui maut dalam keadaan terikat dengan beberapa kesan kelar di anggota badannya di kawasan hutan di tepi Lebuhraya Pulau Indah, Pelabuhan Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa ditemui oleh pemancing yang kebetulan melalui di kawasan berkenaan pada 6.30 petang semalam.

"Berdasarkan kepada siasatan di tempat kejadian, mangsa dipercayai seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga warga Indonesia.

"Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dengan kedua-dua belah tangannya terikat dengan 'cable tie' pada belakang badan mangsa.

"Mangsa juga turut ditemui dengan beberapa kesan kecederaan termasuk perutnya sudah terburai serta terdapat kesan kelar di lehernya. Tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki penemuan mayat mangsa ada kaitan dengan kes pergaduhan pada Rabu lalu antara dua kumpulan warga Indonesia di depan kontena projek pembangunan perumahan, di Kampung Telok Gong, di sini.

"Pergaduhan itu dipercayai berlaku berikutan perebutan sub kontrak kerja-kerja pembaikan rumah di kawasan berkenaan sehingga berlakunya kecederaan akibat daripada penggunaan sabit.

"Ekoran pergaduhan itu, empat lelaki warga Indonesia mengalami kecederaan dan dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini. Dua daripadanya mengalami cedera parah," katanya.

Shamsul Amar berkata, pihaknya percaya penemuan mayat lelaki warga asing ini mempunyai kaitan dengan pergaduhan dua kumpulan itu, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Kami juga sedang memburu suspek yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan ini dan percaya kesemua mereka sudah melarikan diri keluar daripada daerah ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

"Motif kejadian sedang dikenal pasti dan pihak kami sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian. Usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 3:58 PM