Razali memakai busana ala pahlawan Melayu berdiri atas kereta vintaj buatan Malaysia TD2000 melambai tangan pada rakan-rakannya pada majlis meraikan persaraannya di pekarangan Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi, petang tadi. FOTO Hamzah Osman
Razali memakai busana ala pahlawan Melayu berdiri atas kereta vintaj buatan Malaysia TD2000 melambai tangan pada rakan-rakannya pada majlis meraikan persaraannya di pekarangan Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi, petang tadi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

MENAIKI kereta vintaj buatan Malaysia, TD2000 dengan memakai busana ala pahlawan Melayu dan diiringi konvoi motosikal berkuasa besar ke kediamannya antara gimik majlis persaraan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPPD) Langkawi, Razali Tahrim, hari ini.

Razali, 60, secara sah menamatkan kerjayanya dalam perkhidmatan awam selepas berkhidmat selama 27 tahun.

Bapa kepada dua anak yang diiringi isterinya, Rafeah Majid, 54, kelihatan sebak ketika mengetip kad perakam waktu buat kali terakhir pada jam 5 petang.

Terdahulu, beliau dipakaikan sepersalinan busana pahlawan Melayu, tengkolok dan keris, selain menerima hadiah daripada rakan sekerja pada majlis khas di pekarangan Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi di sini.

Dalam ucapannya, beliau berkata, majlis diatur itu cukup istimewa dan pasti menjadi kenangan manis kerana diraikan seperti pahlawan Melayu.

"Saya amat terharu dengan penganjuran majlis yang cukup meriah. Terima kasih kepada semua rakan yang terbabit menjayakan majlis ini.

"Sepanjang kerjaya, saya pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri, SMK Ayer Hangat, SMK Tunku Putra dan SMK Kelibang sebelum menjawat jawatan PPPD mulai 2007," katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Kedah, Sofarudin Ismail, Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Halid Ali, pengetua dan guru besar sekitar Langkawi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 11:52 PM