PASUKAN bola jaring SMK Mahsuri  bersama piala yang dimenangi.
PASUKAN bola jaring SMK Mahsuri bersama piala yang dimenangi.
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: SMK Mahsuri muncul juara berganda apabila pasukan Bawah 15 Tahun (B-15) dan Bawah 18 Tahun (B-18) beraksi cemerlang pada kejohanan bola jaring Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Langkawi di Kompleks Sukan Langkawi, di sini, kelmarin.

Ketangkasan dan persefahaman pemain B-15 bimbingan Nurul Shahadah Mat Zuki memulakan kejayaan apabila menundukkan Maktab Mahmud Cawangan Langkawi 21-16 untuk muncul juara.

Pada separuh akhir, pasukan itu mengatasi SMK Kedawang 11-4.

Bagaimanapun, pasukan B-18 yang dibimbing Tan Ai Chen terpaksa berhempas-pulas sebelum berjaya mengatasi SMK Tunku Putra 15-14 untuk bergelar juara.

Terdahulu, pada separuh akhir pasukan itu menang mudah ke atas SMK Langkawi Pulau Tuba 18-0.

Kemenangan itu membolehkan kedua-dua pasukan membawa pulang piala pusingan dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Penyelia Sukan Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi Muhamad Shukeri Rokhani. Hadir sama, Pengetua SMK Mahsuri, Sabri Abdol Rahim.

Kejayaan itu juga menyaksikan pasukan B-18 sekolah itu dipilih mewakili daerah Langkawi ke pertandingan peringkat negeri di Pendang dari 2 hingga 5 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 10:37 AM