Khairul Ikmal Hakim (kanan) dan Rohizad  (dua dari kanan) menerangkan roket ciptaan mereka yang akan dibawa menyertai Acara Roket Air Peringkat Asia Pasifik di Laguna, Filipina November ini kepada Nawawi (dua dari kiri), hari ini. FOTO Hamzah Osman
Khairul Ikmal Hakim (kanan) dan Rohizad (dua dari kanan) menerangkan roket ciptaan mereka yang akan dibawa menyertai Acara Roket Air Peringkat Asia Pasifik di Laguna, Filipina November ini kepada Nawawi (dua dari kiri), hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tuba Langkawi, di sini, bakal menggalas cabaran negara pada Acara Roket Air Peringkat Asia Pasifik di Laguna, Filipina November ini.

Khairul Ikmal Hakim Nurisyam, 14, dan Rohizad Zarain, 15, yang digelar 'Pakar Roket' dalam kalangan rakan sekolah, bakal menggalas nama negara pada pertandingan itu sempena Persidangan Asia Pacific Regional Space Agency Forum (APRSAF) ke-23 yang berlangsung di tempat sama.

Pada pertandingan peringkat kebangsaan selama tiga hari di Universiti Malaya yang berakhir pada 30 Ogos lalu, mereka yang diiringi guru pembimbing, Mohd Jazrinizad Jamaludin, muncul johan mengatasi SMK Tinggi Kajang, Selangor dan SMK Sains Tuanku Munawir, Seremban, Negeri Sembilan masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Kemenangan itu membolehkan dua pelajar terbabit membawa pulang Piala Pusingan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Teleskop Celestron Nextstar4SE dan wang tunai RM1,500.

Kejayaan dua pelajar terbabit turut diraikan pada majlis khas dan penyampaian sagu hati oleh Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad di Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Khairul Ikmal Hakim, Rohizad dan Mohd Jazrinizad masing-masing menerima wang tunai RM500 disampaikan Nawawi.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi Marzuki Daud dan Pengetua SMK Langkawi Pulau Tuba, Johari Jaafar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 5:43 PM