Empat premis rumah urut disyaki menawarkan khidmat seksual diserbu dalam operasi penguatkuasaan oleh DBKL.
Empat premis rumah urut disyaki menawarkan khidmat seksual diserbu dalam operasi penguatkuasaan oleh DBKL.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Guna papan tanda premis urut tubuh untuk menawarkan khidmat pelacuran.

Itu antara taktik 'klise' digunakan pengusaha dan sindiket pelacuran bagi mengaburi kegiatan daripada tindakan penguatkuasaan.

Terbaru empat rumah urut sekitar Kepong di sini, digempur Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam, selepas didapati terbabit dalam aktiviti persundalan.

DBKL berkata, operasi itu dijalankan susulan risikan pihaknya sejak lima hari lalu.

"Kesemua premis berkenaan dikenakan tindakan tutup serta merta dan barangan perniagaan disita," katanya semalam.

DBKL berkata, empat notis di bawah Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan perindustrian (WPKL) 2016 dikeluarkan atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah.

"Selain itu, sebanyak 57 struktur sekatan yang dibina tanpa kelulusan di dalam empat premis itu turut dirobohkan mengikut Seksyen 79(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.

"Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat laman sesawang Adu@KL di pautan http://adukl.dbkl.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 2:54 PM