SANYA menerima ciuman daripada Pengetuanya, Norini Wan Awang selepas mengambil slip keputusan SPM di SMK Kedawang, semalam.
SANYA menerima ciuman daripada Pengetuanya, Norini Wan Awang selepas mengambil slip keputusan SPM di SMK Kedawang, semalam.
Oleh Hamzah Osman

Langkawi: “Siapa kata SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) susah? Saya sebagai orang Jepun pun boleh dapat 9A dan tiada masalah untuk mencapai keputusan cemerlang, tetapi kita perlu rajin berusaha,” kata Sanya Harada, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang, di sini, semalam.

Sanya yang tidak mampu bertutur bahasa Melayu ketika menjejakkan kaki ke negara ini membuktikan kegigihan tanpa mengenal erti jemu mampu memberi pulangan terbaik apabila memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam SPM yang diumumkan, semalam.

Anak bongsu daripada tiga beradik yang berasal dari Hiroshima, Jepun itu tiba di Langkawi pada 2007 kerana mengikuti ibu bapanya yang membuka restoran di pulau peranginan ini.

“Saya tiba di negara ini tanpa boleh bercakap sepatah pun bahasa Melayu. Saya mengambil kelas bahasa Melayu dan Inggeris di pusat tuisyen selama dua tahun untuk memahirkan diri.

“Persekolahan saya di Langkawi bermula pada 2009 apabila mendaftar masuk tahun enam di Sekolah Kebangsaan Kedawang sebelum mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun sama.

“Saya memperoleh 4A 1B dalam UPSR dan B itu adalah untuk subjek bahasa Melayu Pemahaman,” katanya ketika ditemui selepas mengambil slip keputusan SPM di pekarangan SMK Kedawang, di sini, semalam.

Bapanya, Tomoharu Miki, 60, dan ibunya, Mariko Harada, 48, tidak hadir kerana ada urusan berkaitan perniagaan di Pulau Pinang.

Sanya yang mengenakan baju kurung berwarna merah jambu ketika mengambil slip keputusan itu berkata, dia turut memperoleh 7A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), dua tahun lalu.

“Dalam SPM kali ni, saya memperoleh A+ dalam Matematik manakala bahasa Melayu, Inggeris, Sejarah, Kimia, Matematik Tambahan dan Biologi (A) dan Pendidikan Moral serta Fizik (A-).

“Saya berpuas hati dengan tunjuk ajar guru di sekolah ini dan bercadang melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang perubatan,” katanya.

Menurutnya, dia amat tertarik dengan budaya dan sikap peramah masyarakat Langkawi, sekali gus berjanji untuk menabur bakti di pulau pelancongan itu sebaik tamat pengajian nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 10:34 AM