Siti A'isyah Sukaimi


AIRASIA sedang menjalankan siasatan bagi mencari punca kejadian pesawat D7237 dari Perth, Australia ke Kuala Lumpur yang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Perth, semalam.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, siasatan itu dibuat bersama pembuat enjin Rolls-Royce malah, kerjasama penuh turut dilakukan bersama pihak berkuasa penerbangan tempatan.

"Kami mahu menegaskan, Kumpulan AirAsia sentiasa mematuhi program penyenggaraan yang disediakan oleh pihak pengilang.

"Malah, kita juga memenuhi semua peraturan dan permintaan yang ditetapkan oleh setiap negara pesawat beroperasi termasuk Australia," katanya, hari ini.

Semalam, AirAsia X dalam kenyataannya dipetik berkata, pesawat D7237 dengan 359 penumpang berlepas 7 pagi (waktu tempatan) dari Perth menuju ke Kuala Lumpur tetapi terpaksa berpatah balik dan selamat mendarat di Lapang Terbang Perth pada 10 pagi.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata, adalah menjadi prosedur biasa untuk sesebuah pesawat berpatah balik jika berkaitan dengan isu teknikal.

Katanya, tindakan berpatah balik adalah pilihan terbaik untuk memastikan keselamatan penumpang serta mengelak kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2017 @ 4:23 PM