Kalidevi Mogan Kumarappa


BIRO Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca insiden gegaran pesawat Air Asia X D7237 yang dalam perjalanan ke Malaysia dari Perth, Australia, kelmarin.

ATSB dalam laman web rasminya mengesahkan siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu.

Bagi melengkapkan siasatan, ATSB akan menemubual kakitangan pesawat, memeriksa kerosakan enjin pesawat dan menganalisa data perakam suara kokpit serta data penerbangan.

"Laporan siasatan bernombor AO-2017-066 akan dikeluarkan dalam beberapa bulan," katanya dalam bahagian laporan dan siasatan keselamatan penerbangan.

Turut dinyatakan, akibat kegagalan enjin pesawat, pesawat jenis Airbus A330-343X mengalami gegaran sebelum berpatah balik ke Perth.

Kelmarin, pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada 6.50 pagi itu dilaporkan berpatah balik berikutan masalah teknikal.

Pesawat itu dilaporkan mengalami gegaran kuat selepas berlepas dari Perth dan kemudiannya mendarat pada 10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 3:15 PM