Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Sebanyak 29 penerbangan membabitkan pesawat AirAsia sama ada berlepas atau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) terganggu ekoran jerebu teruk.

AirAsia Berhad dalam satu kenyataan berkata, gangguan itu berlaku pada 6.40 petang tadi disebabkan jarak penglihatan berada pada paras minimum ekoran pencemaran udara.

"Pada masa sama, operasi syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang disambung semula pada 6 petang tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, AirAsia Berhad berkata, penumpang yang terjejas turut dimaklumkan mengenai perkara itu dan mereka diberi layanan sepatutnya di lapangan terbang berkenaan.

"AirAsia akan terus memantau situasi ini serta memaklumkan penumpang mengenai perkembangan terkini dari masa ke masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 9:08 PM