Mohammad Ishak

EMPAT lelaki berusia 19 hingga 51 tahun cedera selepas ditetak di Kampung Lak Lok, Jertih, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, empat mangsa dihantar ke Hospital Besut selepas diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang dan pedang.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan ada pergaduhan berlaku di kampung berkenaan.

"Siasatan awal mendapati empat mangsa diserang dua kumpulan dari kampung sama dan motif sebenar serta jumlah suspek yang terbabit dalam kejadian ini masih dalam siasatan.

"Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

"Kita sudah mengenal pasti identiti suspek dan usaha mengesan mereka giat dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya," katanya.

Ia adalah kes tetak ketiga yang dilaporkan berlaku di daerah Besut sepanjang minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 4:07 PM