Ahsmon (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 33 kenderaan yang dipercayai dicuri oleh Geng Bapak Waha sejak 2016. FOTO Ahmad Othman.
Ahsmon (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 33 kenderaan yang dipercayai dicuri oleh Geng Bapak Waha sejak 2016. FOTO Ahmad Othman.
Ahmad Othman


POLIS menumpaskan sindiket curi kenderaan didalangi 'Geng Bapak Waha' dengan penahanan 13 suspek dalam serbuan di sebuah bengkel kereta di Felda Bukit Waha di Kota Tinggi pada 9 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 19 hingga 45 tahun ditahan dalam operasi dilakukan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Katanya, kegiatan suspek terbongkar susulan maklumat orang awam mengenai aktiviti mencuri kenderaan di kawasan itu.

Ahsmon berkata, lima lelaki ditahan bersama peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan curi kenderaan antaranya kunci Allen dan spanar boleh laras.

"Susulan itu, seorang lelaki ditahan di kawasan perumahan kakitangan kilang Felda Waha dan polis merampas sebuah kereta yang tiada mempunyai nombor pendaftaran," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut seterusnya membawa polis ke sebuah bengkel di Kampung Segundal Tanjung Sedeli.

"Seorang suspek ditahan bersama motosikal Yamaha 125 dengan nombor enjin dan casisnya diganggu.

"Soal siasat membawa kepada penahanan beberapa lagi suspek menerusi Op Lejang Bapak Waha," katanya.

Menurutnya, polis merampas 10 motosikal, lima rangka motosikal dan sebuah kereta jenis Datsun 120Y.

Katanya, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 33 kes kecurian motosikal yang dilaporkan sejak 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 6:12 PM