Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Curi motosikal, leraikan alat ganti, jual atau guna sendiri sebelum rangkanya dibuang ke dalam sungai atau ditanam.

Itu modus operandi Geng Jitut Waha yang dikesan polis sebelum ketua dan tujuh ahlinya ditahan di sekitar daerah ini, minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, kumpulan yang aktif dalam kegiatan curi motosikal sejak Januari lalu itu terbongkar apabila seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan di Felda Simpang Waha di sini, jam 4.30 pagi, 19 Mei lalu.

"Susulan tangkapan pertama itu, polis menjalankan 12 serbuan di tujuh lokasi berasingan sekitar Felda Simpang Waha, Felda Bukit Waha, Felda Bukit Easter, Kampung Jawa, tepi jalan Felda Lok Heng - Mawai, kawasan sungai Jalan Belukar Durian dan Felda Semenchu.

"Dalam serbuan antara 19 Mei hingga 22 Mei lalu, seramai lapan ditahan yang semuanya berusia antara 19 hingga 38 tahun," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini, hari ini.

Nik Azaham berkata, dalam semua serbuan itu, polis merampas sembilan motosikal curi, 10 rangka motosikal, sebuah basikal dan sebuah enjin kereta.

Katanya, turut ditemui daripada seorang suspek adalah ketulan kristal disyaki syabu seberat 29.83 kilogram dan dua pil disyaki Eramin 5.

"Polis turut merampas satu alat penimbang digital, dua beg silang dan tiga batang 'align key' yang diubah suai.

"Kita anggarkan semua barang rampasan motosikal, basikal dan rangka bernilai RM80,000, manakala nilai dadah yang dirampas masih dalam siasatan," katanya.

Nik Azaham berkata, hasil siasatan mendapati semua suspek disyaki terbabit dengan kes kecurian motosikal dan mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 30 Mei ini.

"Berdasarkan semakan, enam daripada lapan suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah, manakala seorang daripada mereka pernah dikenakan pengawasan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA)," katanya.

Beliau berkata, empat lagi suspek masih diburu polis untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

NIK Azaham (tengah) menunjukkan barang rampasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
NIK Azaham (tengah) menunjukkan barang rampasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi hari ini. FOTO Izz Laily Hussein

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 12:48 PM