ADREENA (tengah) bersama Faisal (kanan) dan moderator Augustine Leonard pada Forum Komunikasi Strategik dan Keselamatan Negara di UiTM Shah Alam.
ADREENA (tengah) bersama Faisal (kanan) dan moderator Augustine Leonard pada Forum Komunikasi Strategik dan Keselamatan Negara di UiTM Shah Alam.
Faliq Lajim


Shah Alam: Komunikasi strategik amat penting dalam memastikan keselamatan Malaysia sentiasa terjamin dan bebas daripada ancaman luar terutama menangani maklumat yang salah berkaitan sesuatu isu atau krisis.

Perunding bebas Faisal Nazrin Zainuddin berkata, pengurusan krisis yang melanda bukan sesuatu yang mudah.

“Keadaan itu boleh berlaku apabila sesuatu maklumat salah dan sudah menjadi tular sehingga sukar untuk diperbetulkan.

“Justeru, komunikasi strategik penting bagi menangkis semua maklumat seumpama itu ketika ini,” katanya pada Forum Komunikasi Strategik dan Keselamatan Negara di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Komunikasi Strategik, Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan Adreena Abdul Majid.

Menurut Faizal, ledakan maklumat boleh menjadi sesuatu yang baik atau sebaliknya dan ia adalah cabaran untuk menghadapi abad ke-21.

“Oleh itu, kita perlu sentiasa tahu dan menyiasat sama ada maklumat diterima benar atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Adreena berkata, keberhasilan aktiviti komunikasi secara efektif banyak ditentukan oleh penentuan strategi komunikasi.

“Rakan strategik penting untuk membantu dalam menangkis isu yang orang ramai tidak faham. Ia perlu mempunyai kepakaran dalam sesebuah perkara dan memberi penjelasan lanjut,” katanya.

Menurutnya, ancaman dihadapi ketika ini bukan setakat faktor keselamatan seperti perang yang menggunakan fizikal malah membabitkan dunia media sosial.

“Kita berdepan dengan wira papan kekunci dan militan Daish yang boleh mengancam pegangan masyarakat.

“Generasi baru lebih menjurus kepada media sosial, kita perlu mengenal pasti bagaimana mahu menyalurkan sesuatu maklumat berdasarkan sasaran sebenar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 5:52 AM