Kuala Lumpur: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mensasarkan untuk melatih seramai 61,000 lagi anggotanya menerusi beberapa jenis kursus menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata setakat ini seramai 355,160 anggota RELA sudah menerima latihan terdiri daripada lima jenis kursus termasuk kursus pengurusan dan pengendalian senjata api serta kursus asas pengurusan krisis.

Katanya, berdasarkan rekod, terdapat satu juta saja anggota RELA yang dikesan aktif berbanding bilangan keseluruhan anggota RELA iaitu tiga juta orang.

“Kita harap mereka ini semua diberi latihan dan diberi uniform yang bersesuaian dan kini terdapat lima jenis kursus diberi kepada anggota RELA seperti kursus pengelolaan, asas RELA, pengurusan dan pengendalian senjata api, kepimpinan, relawan serta kursus asas pengurusan krisis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 6:26 AM