Kuala Lumpur: Individu yang didapati bertanggungjawab menyebarkan berita palsu sehingga mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat perlu dibawa ke muka pengadilan sekali gus memberi pengajaran kepada pihak lain.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu itu bukan saja menyusahkan banyak pihak namun dibimbangi mencetuskan keadaan panik terutamanya ketika menghadapi sesuatu krisis.

“Contohnya, keadaan banjir yang berlaku di beberapa negeri di Pantai Timur, ada pihak yang sesuka hati menyebarkan berita palsu dan ada di antara berita itu yang mampu mencetuskan situasi panik. Ini bukan perkara remeh, kerana boleh membabitkan nyawa.

“Tindakan segelintir individu ini jelas memperlihatkan bahawa mereka tidak sensitif dengan keadaan semasa. Saya amat berharap supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan polis dapat mengambil tindakan terhadap individu ini,” katanya kepada Harian Metro menerusi SMS, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan segelintir individu yang menyebarkan berita palsu di media sosial terutamanya membabitkan situasi banjir di Pantai Timur.

Semalam, pengguna media sosial dikejutkan dengan berita kononnya banjir akan berlaku di kawasan yang terletak berhampiran dengan Sungai Perak.

Berita itu dibuat individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan logo dan nama ‘Jabatan Kerja Raya Perak’.

Jailani berkata, kerajaan menyediakan infrastruktur jalur lebar bagi membolehkan rakyat menikmati kemudahan internet dan mengakses maklumat tanpa mengira masa dan tempat.

Beliau berkata, tindakan segelintir pihak menggunakan kemudahan itu untuk menyebarkan berita palsu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan tindakan tegas harus diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 8:12 AM